gunx to u

Tuesday, November 28, 2006

Datuk Seri Lim

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik mengesyaki wujud penyelewengan dalam urusan pengeluaran bil air oleh syarikat pemegang konsesi dan Jabatan Bekalan Air (JBA) negeri-negeri.

Dengan menyifatkannya sebagai perbuatan ‘bisa diatur’, beliau berpendapat, gejala itu adalah punca ada syarikat konsesi dan JBA negeri yang merekodkan kerugian air tanpa hasil (NRW) sehingga mencecah lebih 50 peratus.

Katanya, penyelewengan tersebut banyak membabitkan syarikat gergasi yang menggunakan air sehingga bilnya mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

“Ada kejadian air dicuri tidak dibilkan mengikut kadar yang sepatutnya dan ia diuruskan hanya secara ‘bisa diatur’ bukan di pejabat tetapi di kedai-kedai kopi.

‘‘Ada sesetengah syarikat besar pula guna air sehingga beratus-ratus ribu ringgit sebulan dan jika dalam bil mereka satu angka kosong dikurangkan, berapa banyak wang hilang?” kata Keng Yaik pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Hari Air Malaysia-Denmark di sini hari ini.

Beliau menggesa sistem bil air syarikat konsesi dan JBA negeri-negeri sekarang diaudit dengan rapi bagi mengenal pasti jumlah air yang disalurkan kepada pelanggan dan hasil yang sepatutnya diperoleh.

“Bil yang patut dikutip tidak dikutip, maknanya ada sesuatu yang salah. Sistem bil itu perlu diaudit.

“Tetapi semua ini tidak dibuat, sebab itu NRW sangat tinggi,” katanya sambil menambah kadar NRW yang tinggi menyebabkan perkhidmatan bekalan air terpaksa diswastakan.

Menurutnya, dengan memperbadankan pihak berkuasa air negeri-negeri, ia akan memudahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat pemantauan menerusi pengeluaran lesen kepada syarikat- syarikat yang membekalkan air.

Keng Yaik memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada negeri-negeri bagi mengurangkan masalah NRW.

Katanya, kerajaan menetapkan sasaran mengurangkan NRW negara daripada purata 40 peratus kepada 30 peratus menjelang 2010.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan RM2 bilion itu bukan sahaja digunakan untuk menggantikan paip lama yang sebelum ini dijadikan alasan oleh syarikat bekalan air sebagai punca utama berlakunya NRW.

Menurut Keng Yaik, peruntukan tersebut akan turut digunakan untuk tujuan lain termasuk menguatkuasakan Daerah Zon Pemeteran dalam usaha mengurangkan NRW.

Beliau juga berkata, 45 peratus daripada 91,247 kilometer paip air di seluruh negara diperbuat daripada asbestos berusia lebih 30 tahun yang perlu diganti baru.